Hanya tinggal rangka, mayat Bah Mail ditemukan selepas 10 hari hilang
LIPIS: Penduduk Orang Asli, Bah Mail Pak Gendet, 76, yang dilapor hilang pada 9 Julai lalu disahkan maut selepas mayatnya ditemukan tengah hari tadi.
Mayat yang hanya tinggal rangka dan sedikit daging ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan tertiarap berdekatan anak sungai kira-kira jam 1.05 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata mayat itu ditemukan kira-kira 10 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat kejadian (PKTK) ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Chekai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Betau dekat sini.
“Anak mangsa sudah melakukan pengecaman berdasarkan cincin dan baju dipakai serta sebilah parang termasuk seberkas kunci rumah yang dibawa warga emas itu sebelum kejadian.
“Mayat dibawa keluar pasukan SAR jam 5 petang tadi dan dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis hari ini.
Bah Mail yang turut menghidap darah tinggi dilapor hilang kira-kira jam 8 pagi pada 9 Julai lalu selepas tidak pulang sebaik keluar dari rumah.
SAR yang digerakkan bagaimanapun gagal menemukan mangsa sehinggalah mayat warga emas itu ditemukan hari ini, selepas 10 hari dia dilapor hilang.
Sponsored by Egroup88