‘Hampir semua ‘wish list’ KBS ditunaikan’ – Hannah Yeoh

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat sebagai ‘mesra komuniti sukan’. Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh nyata gembira dengan peruntukan RM72 juta dalam Belanjawan 2024 yang dianggapnya meliputi kepentingan semua pihak.

Beliau memberitahu, hampir kesemua wish list KBS telah ditunaikan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan kali ini, sekali gus dapat memperkasakan lagi industri sukan tanah air.

“Kalau tanya saya berapa bajet yang saya hendak, tambah RM2 bilion pun saya rasa tak cukup tetapi berbanding dengan kesihatan (dan) pendidikan, memang bajet kita (KBS) kecil. Apa yang kita minta adalah game changer seperti cukai… polisi cukai (yang) akan membantu kementerian (KBS) dan industri sukan mendapat manfaat,” kata Hannah pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Perdana Menteri di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet dalam Program Podium termasuk RM20 juta di bawah program Road to Gold (RTG) sebagai persediaan memburu pingat emas sulung menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Belanjawan 2024 turut menyaksikan sebanyak RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

Selain itu, RM50 juta diperuntukkan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia serta sukan di seluruh negara selain pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.

“Peruntukan Program Podium menyaksikan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding belanjawan lalu, manakala peruntukan bagi atlet para pula menyaksikan peningkatan sebanyak 20 peratus.

“Bagi program RTG pula, tahun ini peruntukan sebanyak RM5 juta dan untuk tahun depan seperti yang diumumkan Perdana Menteri semalam (Jumaat), peruntukan sebanyak RM20 juta diberikan.

“Tetapi RTG bukan sahaja untuk Olimpik Paris, ia adalah untuk Olimpik Los Angeles 2028. Sama ada atlet disingkir atau dimasukkan atas pencapaian atau kelayakan, itu akan dibincangkan dalam Jawatankuasa RTG,” jelasnya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.