Hampir 600 ditahan dalam serbuan anti-pemerdagangan manusia
MANILA: Polis Filipina menahan hampir 600 orang ketika serbuan ke atas suspek penyeludupan seks dan operasi penipuan dalam talian di Manila, kata pihak berkuasa hari ini.
Suruhanjaya Presiden Anti-Jenayah Terancang (PAOCC) dalam satu kenyataan berkata, warga China, Korea, Vietnam dan Filipina antara yang ditahan dalam operasi malam tadi.
Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla memberitahu pemberita, pihak berkuasa menyoal siasat 598 tahanan untuk menentukan siapa dalam kalangan mereka adalah mangsa atau suspek.
Kedutaan China telah diminta membantu mengenal pasti sembilan individu yang disyaki menjalankan perniagaan itu yang dilesenkan sebagai syarikat permainan internet.
“Ia adalah operasi berskala besar… menjana wang melalui pemerdagangan orang,” katanya.
Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat mengenai penipuan internet di rantau Asia Pasifik, kebiasaannya dikendalikan mangsa pemerdagangan manusia yang ditipu atau dipaksa untuk mempromosikan pelaburan kripto palsu.
Remulla berkata, pihak berkuasa sedang memohon waran untuk mengakses komputer yang ditemui di dalam premis terbabit yang disyaki digunakan untuk penipuan kripto dan ‘love scam’.
Menurut PAOCC, ketika serbuan dijalankan, dua warga China berkata, mereka dikerah secara paksa malah turut ada kesan kecederaan pada badan masing-masing.
Seorang daripada mereka mendakwa diculik dan dijual dengan harga 500,000 peso, manakala seorang lagi mangsa memberitahu telah ditahan selama setahun, malah dipaksa bekerja sehingga 15 jam sehari.
Alat permainan seks, rumah urut, bilik karaoke dan restoran turut ditemui di premis yang diserbu.
Pada Jun, lebih 2,700 orang telah ditahan semasa serbuan di beberapa bangunan di Manila, di mana mangsa pemerdagangan dikatakan dibayar untuk merekrut pemain untuk permainan dalam talian.
Sponsored by Egroup88