GO Shop jejas prestasi kewangan Astro
KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan optimis, namun kekal berhati-hati dengan momentum pendapatan masa depan Astro Malaysia Holdings Bhd memandangkan segmen beli-belah di rumahnya, GO Shop yang kini mencatatkan kerugian dijangka terus memberi kesan kepada prestasi keseluruhan syarikat.
Astro merekodkan keuntungan bersih lebih rendah RM460.87 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 daripada RM539.85 juta setahun lalu.
Penurunan itu terutama disebabkan oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih rendah, yang susut tiga peratus disebabkan oleh kos kandungan dan jalur lebar serta perbelanjaan pemasaran dan pengedaran yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan pemulihan tahun kewangan 2023 daripada peningkatan perbelanjaan pengiklanan (adex) merentasi industri dan sentimen pengguna,” kata AmInvestment Bank Bhd dalam satu nota.
Firma itu percaya bahawa perang Russia-Ukraine tidak mempunyai impak langsung terhadap Astro.
“Bagaimanapun, perang yang semakin memuncak boleh menyebabkan risiko inflasi meningkat dan juga kemelesetan, yang mungkin menjejaskan sentimen pelanggan, menyebabkan pengiklan mengurangkan bajet iklan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, AmInvestment mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Astro, dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.33 sesaham.
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd berkata, Astro menyedari bahawa sentimen pengguna masih lemah disebabkan oleh inflasi.
Bagaimanapun, katanya, ketika Malaysia memulakan peralihan ke fasa endemik COVID-19 dan membuka semula sempadan hari ini, lebih banyak hotel serta cawangan makanan dan minuman (F&B) dijangka melanggan semula perkhidmatannya.
“Adex juga boleh terus pulih ketika ia melaksanakan sepenuhnya pengiklanan bersasar. Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang digazetkan pada 18 Mac lalu turut membolehkannya menangani kandungan cetak rompak bagi mengurangkan kesan penurunan pendapatan langganan televisyen,” katanya.
Justeru, Maybank Investment mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Astro, namun pada sasaran harga lebih rendah RM1.36 berbanding RM1.47 sebelumnya.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata, bagi tahun kewangan 2022, keuntungan bersih teras Astro sebanyak RM475 juta adalah berada di dalam jangkaan.
“Kami menurunkan unjuran perolehan tahun kewangan 2023 dan 2024 sebanyak empat hingga enam peratus dengan anggaran kos kandungan dinaikkan disebabkan acara besar sukan selain menurunkan unjuran pendapatan langganan televisyen,” katanya.
Ia menurunkan sasaran harga saham Astro kepada RM1.20 dan merendahkan saranan kepada ‘neutral’.
Sponsored by Egroup88