Gelagat Bale, Hazard ketawa di bangku simpanan curi perhatian
MADRID: Bintang Real Madrid, Gareth Bale dilihat ketawa kepada Eden Hazard selepas rakan sepasukannya kembali ke bangku simpanan sebagai pemain yang tidak digunakan pada suku akhir Copa del Rey, semalam.
Skuad Los Blancos tewas 1-0 di tangan Athletic Bilbao menerusi gol Alex Berenguer pada minit ke-89.
Ia adalah kekalahan pertama Madrid dalam tujuh perlawanan meskipun pertandingan itu tampak boleh dimenangi mereka selepas Sevilla, Barcelona dan Atletico Madrid sudahpun tersingkir lebih awal.
Athletic tampak lebih bertenaga pada aksi itu selepas jentera serangan Madrid agak terjejas susulan ketiadaan Karim Benzema yang mengalami kecederaan.
Bale dan Hazard diturunkan sebagai penyerang pada aksi sebelum itu namun gelagat kedua- dua pemain itu di bangku simpanan lebih mencuri tumpuan.
Ketika Hazard pulang ke bangku simpanan selepas memanaskan badan, Bale dilihat ketawa kepada bekas pemain Chelsea itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua pemain itu hanya bergurau namun pelayar Internet menganggap pemain dari Wales itu melihat situasi itu sesuatu yang melucukan apabila kedua- dua mereka ‘tersangkut’ di bangku simpanan.
Ketiadaan dua pemain itu juga menimbulkan persoalan selepas Carlo Ancelotti lebih memilih Rodrygo dan Vinicius Junior yang baru sahaja pulang daripada tugasan antarabangsa bersama Brazil.
Sponsored by Egroup88