Final Piala AFC: Al Seeb lebur impian KL City
Pemain KL City, Romel Morales (kiri) bersaing dengan pemain Al Seeb pada aksi final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Hajat besar Kuala Lumpur (KL) City untuk mencipta sejarah muncul juara Piala AFC buat kali pertama tidak kesampaian apabila tewas 0-3 di tangan Al Seeb dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Sebaliknya, keputusan itu membolehkan Al Seeb mencipta sejarah apabila muncul pasukan pertama dari Oman menjuarai piala berkenaan dan lebih manis ia penampilan pertama mereka pada final kejohanan itu.

Selaku juara, Al Seeb membawa pulang hadiah berjumlah AS$1.5 juta (kira-kira RM7.1 juta) manakala KL City meraih AS$750,000 (RM3.5 juta).

Pemain Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco (tengah) diasak pemain Al Seeb, Eid Mohammed Al-Farsi pada perlawanan final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Pemain Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco (tengah) diasak pemain Al Seeb, Eid Mohammed Al-Farsi pada perlawanan final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Biarpun tidak berjaya menyamai pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memenangi Piala AFC pada 2015, pencapaian muncul naib juara sudah menjadi sejarah besar buat KL City.

Dalam aksi malam tadi, skuad City Boys terlebih dahulu mencemaskan kubu lawan pada minit ke-19, namun percubaan jarak dekat Zhafri Yahya berjaya diselamatkan penjaga gol, Ahmed Faraj Al Rawahi.

Barisan pemain Al Seeb dilihat mula menemui rentak permainan sebenar mereka menerusi penguasaan bola dan berjaya berada di depan hasil sepakan sudut Ali Al Busaidi yang terus menerjah jaring pada minit ke-22.

Pintu gol KL City bocor buat kali kedua pada minit ke-37 selepas hantaran Salaah Said Al Yahyaei disudahkan dengan tandukan Abdul Aziz Humaid Al Maqbali.

Pemain Kuala Lumpur (KL) City, Romel Morales (dua kiri) diasak pemain Al Seeb, Hassan Ahmed Al-Ajmi pada perlawanan final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Pemain Kuala Lumpur (KL) City, Romel Morales (dua kiri) diasak pemain Al Seeb, Hassan Ahmed Al-Ajmi pada perlawanan final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kedudukan Al Seeb semakin selesa apabila Muhsen Al Ghassani bijak memperdaya pertahanan KL City sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk meledak gol ketiga pasukannya pada minit ke-69.

KL City bagaimanapun tetap tidak patah semangat dan berusaha memecah kebuntuan jaringan, namun kegagalan menggunakan beberapa peluang selain kecemerlangan Ahmed Faraj di pintu gol menyaksikan keputusan 3-0 memihak Al Seeb kekal hingga wisel penamat.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.