Fasa pertama Litar Johor dijangka siap tiga tahun lagi
SEPANG: Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menjangkakan fasa pertama bagi pembangunan semula Litar Johor akan siap antara dua hingga tiga tahun lagi bersama ciri-ciri keselamatan terbaik.
Tunku Abdul Rahman yang aktif dalam sukan empat roda berkata, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang berusaha untuk membaik pulih litar berkenaan, dijangka akan membuat kenyataan rasmi berhubung perkembangan terbaharu litar berkenaan bulan depan.
“Insya-Allah bulan depan Tunku Temenggong sendiri akan buat kenyataan rasmi mengenai Litar Johor dan daripada situ kita akan dapat tahu lebih maklumat lagi.
“Saya rasa untuk fasa satu, (akan siap) lebih kurang dua hingga tiga tahun sebab banyak lagi yang perlu ditambah baik. Jangan lupa, litar ini dibina pada tahun 1980-an.
“Jadi kita kena ikut peraturan di bawah FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan sebab itu kita tutup litar itu sebab kalau ada apa-apa kemalangan, jika kita mahu anjurkan perlumbaan pada masa depan, FIA tak akan beri (kelulusan).
“Sebab itu untuk keselamatan rakyat, kita ambil alih dan tak buka. Insya-Allah dalam masa dua tiga tahun saya rasa fasa satu boleh siap dengan ciri-ciri keselamatan yang baik,” katanya pada sidang media hari ini sempena perlumbaan GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Sepang.
Sebelum ini timbul spekulasi litar itu akan dibina semula menerusi kerjasama dengan syarikat gergasi petroliam di negara ini.
Bagaimanapun, Tunku Temenggong sudah menafikan kesahihan laporan itu.
Sponsored by Egroup88