FAM perlu pandang serius kalah kepada pasukan belasahan
TAPAH: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari jalan terbaik bagi meningkatkan prestasi skuad negara susulan kekalahan mengejutkan di tangan Laos pada kempen Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kekalahan 1-2 kepada pasukan dianggap ‘belasahan’ itu sesuatu yang harus dipandang serius dan satu post-mortem perlu dilakukan pihak berkaitan bagi meningkatkan kembali prestasi dan mutu permainan skuad muda negara.
“Bola sepak adalah sukan amat popular di negara kita dan sebilangan besar rakyat meminati sukan ini tetapi apabila di kejohanan antarabangsa, kita nampak agak lemah. Saya harap FAM bersama komuniti bola sepak seluruh negara bekerjasama rapat mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan prestasi pasukan kita.
“Dari segi permulaan bagaimana hendak bangunkan bakat baharu sehingga kita berjaya menubuhkan pasukan berkualiti dan sebagainya untuk memastikan kita tidak tewas kepada pasukan yang sebelum ini dianggap pasukan belasahan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita sempena perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy 2022 Peringkat Dewan Undangan Negeri Chenderiang di Kompleks Sukan Batang Padang di sini hari ini.
Skuad B-23 kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney membuka tirai kempen Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dengan keputusan mengecewakan selepas tewas 1-2 kepada Laos di Stadium Prince, Jumaat lepas.
Malaysia yang mempertaruhkan pasukan ‘kedua’ pada kejohanan itu sekali lagi akan bertemu Laos pada aksi terakhir kumpulan di venue sama esok, dalam misi meraih kemenangan dengan kelebihan dua gol bagi mencerahkan peluang mara ke peringkat separuh akhir selaku juara Kumpulan B.
Kekalahan 1-2 itu adalah kekalahan pertama Malaysia dalam enam pertemuan terakhir menentang Laos di kejohanan peringkat B-23 sejak 2014.
Sponsored by Egroup88