FAM mahu nilai gol Joseph dulu
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menilai terlebih dahulu jaringan jarak jauh daripada bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie sebelum menghantarnya untuk dicalonkan dalam Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan jaringan itu perlu dinilai sama ada mempunyai kriteria yang ditetapkan badan bola sepak dunia itu walaupun gol terbabit dilihat memang menarik.
“Saya ada melihat jaringan terbabit dan sudah meminta beberapa pegawai untuk mengenalpasti sama ada memenuhi kriteria ditetapkan sebelum menghantar untuk dicalonkan di Anugerah Puskas.
“Jika memenuhi kriteria ditetapkan, tiada masalah untuk menghantarnya dan mungkin ada rezeki untuk pemain terbabit,” katanya.
Jaringan sejauh kira-kira 70 meter itu dihasilkan Joseph ketika aksi pramusim pasukannya, Kuching City menentang kelab Kemboja, Phnom Penh Crown di Stadium RSN, Kemboja, baru-baru ini.
Untuk rekod, pemain Malaysia pernah menggegar dunia apabila Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas pada 2016 menerusi jaringan lencong menarik dalam aksi Liga Malaysia.
Sponsored by Egroup88