FAM bincang peluang kerjasama dengan Jerman

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membincangkan kerjasama dua hala dengan Jerman dalam usaha memperkasakan lagi bola sepak negara.

Ia selepas Hamidin selaku Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) bagi penggal 2022-2026 menghadiri kongres ke-30 badan induk itu di Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini, berkesempatan bertemu dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Jerman, Bernd Neuendorf.

Pada pertemuan dengan Neuendorf, Hamidin berkongsi pandangan dalam isu kepentingan bersama dan potensi kerjasama demi manfaat positif bola sepak Malaysia dan Jerman.

“Misi utama dua negara ini adalah mewujudkan kerjasama yang lebih erat dengan berkongsi kepakaran dan sumber. Pada masa yang sama menyokong pembangunan bola sepak negara masing-masing.

“Ini adalah peluang yang baik untuk kita bertukar pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai aspek termasuk pasukan kebangsaan, pembangunan akar umbi dan belia serta prestasi pemain,” kata Hamidin dalam kenyataan di laman Facebook FAM.

Selain itu, Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut bertemu dengan Presiden Persatuan Bolasepak Afrika Selatan, Dr Danny Jordaan; Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak diRaja Belanda, Gijs de Jong dan Perhubungan Awam dan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak diRaja Belgium, Hedelli Sassi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jerman, Afrika Selatan, Belanda dan Belgium kerana meluangkan masa untuk membincangkan potensi kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala dengan Malaysia.

“Saya yakin kerjasama ini akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.