Dugaan calon PKR di Johor Lama

KOTA TINGGI: Bukan sekadar berdepan misi untuk menggugat kedudukan lawan di kubu kuat, seorang calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diuji dengan nasib menimpa keluarga pada saat genting.

Demikian luahan Omar Mokhtar A Manap, yang dipertaruhkan kali pertama sebagai calon untuk berentap dalam saingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama.

Menyimpan cerita kerana enggan meraih simpati, beliau mendedahkan, ibunya ditimpa kemalangan di rumah, dekat Mersing pada hari penamaan calon.

“Saya bukan datang daripada keluarga senang. Bila umum jadi calon, dua tiga hari sebelum hari penamaan, ayah yang dulunya boleh berjalan, terus tidak boleh berjalan, tetapi saya memang rancang untuk balik ke Mersing.

“Kebetulan, saya kena kontak rapat, tidak boleh balik kerana terpaksa menjalani kuarantin dulu sebab khuatir memberi risiko kepada orang tua, maka saya pun buat panggilan video bagi meminta restu.

“Ayah dan mak kata kalau yakin dengan apa yang ingin dibuat ini, jalan terus, jangan toleh belakang. Maka saya pun dengan penuh nekad bergerak untuk hari penamaan calon.

“Dengan masih berbaju Melayu daripada penamaan calon, lepas Maghrib, saya dapat panggilan cakap mak jatuh ketika ambil air sembahyang dan terhantuk sedikit, tetapi Alhamdulillah adik dapat sambut,” katanya kepada BH.

Dengan suara bergetar, Omar menceritakan ibunya yang mengalami pendarahan teruk terpaksa mendapatkan rawatan lanjut di Johor Bahru kerana Hospital Mersing tidak mempunyai peralatan dan kepakaran mencukupi bagi menguruskan kes kecemasan sedemikian.

Bergegas membawa ibunya ke Johor Bahru, beliau berkata, doktor mengesahkan bahawa insiden yang berlaku di bilik air itu menyebabkan ada pendarahan di otak, namun syukur kerana tiada keretakan pada tempurung kepala.

“Selepas merujuk kepada doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA), mereka kata mak tak boleh dibedah kerana terlalu berisiko dan boleh mengundang kematian.

“Maka, hanya ada dua pilihan, iaitu dengan berharap luka sembuh dan kecut untuk sihat seperti sedia kala dan satu lagi kemungkinan ialah luka itu bertambah parah.

“Jika luka makin teruk, keluarga kena reda, maka mereka cadangkan untuk bawa balik mak ke Mersing,” katanya sambil menambah beliau sanggup berulang alik dari Kota Tinggi ke kampung halaman bagi menjaga kesihatan ibunya.

Meskipun terpaksa mengharungi ujian getir sedemikian, Omar, 29, menyulam tekad untuk terus bertanding sebagai calon di DUN Johor Lama kerana mempunyai misi penting.

Syukur selepas diberikan dukungan keluarga, beliau mengakui berdepan kesukaran dalam membahagikan masa untuk berkempen dan menjaga keluarga.

“Mak risau dan serba salah, tetapi saya sebagai anak sulung kata ini memang tanggungjawab. Saya minta mak untuk tenang serta rehat secukupnya. Usah khuatir mengenai saya.

“Depan mak kita kata begitu, tetapi dalam hati, hanya Allah saja yang tahu. Saya hanya minta orang ramai untuk doakan kesihatan mak,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.