Dua anggota TLDM maut dalam nahas jalan raya


KOTA KINABALU: Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal ditunggang mereka merempuh belakang sebuah treler berhampiran terowong di Jalan Sepanggar, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa, Ahmad Faiz Mohd Hanif, 38, dan Norasnizam Mohd Alui, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua mangsa masing-masing menaiki motosikal Yamaha Y15ZR serta Y16ZR dan dalam perjalanan dari arah terowong menghala ke Pelabuhan Sepanggar.
Bagaimanapun katanya, sebuah treler yang berada di laluan bertentangan pula dikatakan cuba berpatah balik ke Pelabuhan Sepanggar.
“Ketika membuat pusingan-U, pemandu lori terpaksa memperlahankan kenderaan selepas terganggu dengan sebuah kenderaan lain yang diletakkan di kiri bahu jalan.
“Kedua-dua mangsa dipercayai gagal melihat treler dan terus merempuh belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya ditemui terperosok di bawah treler bersama kedua-dua motosikal dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dari Hospital Likas.
“Ketika kejadian keadaan lokasi gelap dan lampu jalan tidak berfungsi manakala pemandu lori serta kedua-dua mangsa tidak disyaki mabuk.
“Namun spesimen darah semua yang terbabit sudah diambil untuk ujian Jabatan Kimia dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam.
Katanya, pasukan bomba yang tiba terus menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pemeriksaan di sekitar lokasi turut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.33 malam,” katanya.
Sponsored by Egroup88