Dua anggota APM maut nahas rempuh treler

KUANTAN: Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) maut, manakala seorang lagi cedera selepas kereta Proton Wira dinaiki dipercayai merempuh belakang treler di kilometer 142.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 di Maran, hari ini.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, berkata dalam nahas jam 2.55 petang itu, pemandu kereta, Muhammad Nur Izzuddin Mohd Razali, 21, dan Siti Fairuz Adnan, 28, yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Nurulain Zulfardliyana Mat Daud, 34, yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera parah di muka dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan.

Norzamri berkata, Muhammad Nur Izzudin dan Nurulain Zulfardliyana beralamat di Pekan, manakala Siti Fairuz berasal dari Mentakab, Temerloh. Semua mereka berkhidmat di Pekan.

“Kereta dinaiki mangsa dipercayai gagal dikawal lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong perlahan, menyebabkan bahagian hadapan kereta itu remuk teruk.

“Mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Pekan ke Temerloh untuk menghadiri majlis hari jadi rakan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu treler, Zamrie Idris, 54, tidak mengalami kecederaan.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.