DRB-Hicom catat kerugian lebih besar
KUALA LUMPUR: Kerugian bersih DRB-Hicom Bhd melebar kepada RM25.74 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM16.96 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, selaras dengan hasil yang lebih rendah.
Pendapatan turun 12.6 peratus kepada RM3.07 bilion daripada RM3.51 bilion sebelumnya, disebabkan hasil yang lebih rendah daripada sektor automotif, pos, logistik dan perkhidmatan katering serta sektor hartanah, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Walaupun begitu, lembaga pengarah telah mengesyorkan dividen akhir sebanyak 2.0 sen sesaham berjumlah RM38.66 juta untuk tahun kewangan 2021, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunannya pada 22 Jun 2022.
Menjelaskan prestasi tahun itu, syarikat memberitahu bahawa sektor automotif merekodkan hasil yang lebih rendah disebabkan PROTON mengalami kekurangan stok berpunca daripada gangguan bekalan oleh vendor tempatan yang terjejas akibat banjir dan kekurangan cip, manakala hasil segmen pos yang lebih lemah disebabkan penurunan dalam perniagaan kurier kerana pengguna kembali kepada kaedah membeli-belah secara konvensional.
Penghantaran kargo, daripada perniagaan perkhidmatan logistiknya, juga merosot disebabkan penghantaran pelanggan yang berkurangan manakala hasil daripada sektor hartanahnya menyaksikan hasil yang diiktiraf lebih rendah daripada projek pembinaan, katanya.
Mengenai prospek, syarikat itu berkata operasi perniagaannya dijangka pulih, terutamanya dengan permintaan kukuh yang berterusan, produk dan pasaran baharu, serta langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi isu rantaian bekalan.
“Apabila ekonomi global dibuka semula, perniagaan DRB-Hicom secara beransur-ansur mendapat momentum. Sebagai contoh, kontrak-kontrak utama untuk kerja pemasangan pesawat di bawah segmen aeroangkasa telah diperoleh untuk tempoh sehingga 2034.
“Dengan pembukaan semua sektor perniagaan, kumpulan menjangkakan prestasi yang lebih baik untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding tahun kewangan sebelumnya,” katanya.
DRB-Hicom turut menjangkakan segmen pos mencatat prestasi yang lebih baik melalui inisiatif pemulihan dan transformasi yang berterusan bertujuan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan dan kecekapan kos.
Sponsored by Egroup88