Doktor, jururawat cedera ambulans terbabas masuk longkang

GUA MUSANG: Seorang doktor dan jururawat serta pemandu cedera apabila ambulans dinaiki mereka dalam perjalangan pulang selepas menghantar pesakit ke Hospital Kuala Krai terbabas ke dalam longkang di Kilometer 15.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, pemandu ambulans dilaporkan cuba mengelak ke kiri jalan apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton memasuki laluannya ketika mengambil selekoh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata semasa kejadian, ambulans terbabit dalam perjalanan dari Hospital Kuala Krai ke Hospital Gua Musang.

Beliau berkata, ambulans itu terbabas ke dalam longkang dan melanggar tiang elektrik, menyebabkan doktor dan pemandu tersepit dalam kenderaan dan dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa daripada ambulans yang terbabas. - Foto ihsan PDRM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa daripada ambulans yang terbabas.

Katanya, pemandu ambulans, Anuar Shamsudin, 39, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), cedera parah di bahagian kepala, manakala Dr Al-Farouq Nazmi, 28, patah tangan serta jari kiri dan jururawat, Nur Hafini Hanis Hasbullah, 36, cedera ringan.

“Kami sedang mengesan pemandu Mitsubishi Triton itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Gua Musang, atau Pengawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Rahmad Zakaria di talian 019-4742270.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.