Doa saya termakbul – Mas Idayu

KUALA LUMPUR: “Selama 17 tahun saya hidup sendiri dan kini, Allah kabulkan doa saya.”.

Demikian kata penyanyi dangdut, Mas Idayu, 50, ketika ditemubual selepas majlis akad nikah dan sah bergelar isteri kepada pasangannya yang juga Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51.

Mas berkata, dia mula rasakan perasaan sunyi sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Selepas 17 tahun hidup sendiri, saya tak percaya dengan mana-mana lelaki. Dua tahun lalu, saya berdoa setiap malam, saya ada rasa sunyi dan rasa nak ada teman hidup. Alhamdulillah, Allah kabulkan.

“Ramai yang cuba mendekati saya, tapi saya tak tahu mana satu jodoh saya. Selepas itu, muncul pula orang yang saya suka. Jadi, inilah dia. Alhamdulillah, itu yang buat saya tersentuh,” katanya.

Menurutnya, dia kini punya tempat untuk berkongsi rasa serta luahan rasa apabila sudah bergelar isteri kepada Sufian.

Mas Idayu bersyukur Tuhan makbulkan doa dikurniakan teman hidup ideal. 

“Sekarang, saya dah ada teman untuk mengadu serta luahkan apa sahaja yang saya rasa, baik hal peribadi, mahupun kerja. Ada orang untuk saya berkongsi cerita,” katanya.

Sementara itu, Sufian pula bersyukur dengan kelancaran majlis yang berlangsung pagi tadi.

“Alhamdulillah, apa yang kami rancangkan selama ini, dapat kami laksanakan. Insya-Allah, saya dan Mummy (Mas) sangat teruja pada hari ini. Apa pun, kami mengharapkan kebahagiaan kami dan keluarga sampai ke akhir hayat,” katanya.

Kedua-dua mempelai dinikahkan oleh Imam dan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Jamek Kampung Baru, Ustaz Azizi Abd Hamid dengan mas kahwin RM1,001 di sebuah premis acara di sini, pada jam 10.40 pagi.

Mas Idayu juga penyanyi lagu Robek Hatiku pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa yang berusia 25 tahun.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.