Digantung seumur hidup, denda RM42,130 jika adili STL
KUALA LUMPUR: Digantung seumur hidup dan didenda AS$10,000 (RM42,130) adalah hukuman yang menanti pengadil Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dari Malaysia sekiranya mengadili Kejohanan Sepak Takraw League (STL) dari 7 Januari hingga 27 Mac ini.
Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat berkata, hukuman itu adalah antara tindakan disiplin yang akan dikenakan sekiranya mereka ingkar dengan peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, sebagai pengadil yang membawa nama ASTAF dan ISTAF, adalah menjadi kewajipan untuk mereka mengikuti peraturan ditetapkan.
“Memandangkan kamu adalah pengadil berlesen ASTAF dan/atau ISTAF, maka kamu terikat dengan peraturan pengadil ASTAF/ISTAF dan wajib menghormati semua undang-undang serta peraturan.
“Tambahan pula, komitmen dan kewajipan kamu sebagai pengadil ASTAF/ISTAF seperti yang disebut dalam peraturan, peraturan dan nasihat ASTAF/ISTAF untuk semua pengadil seperti yang tertera dalam artikel 1.1 iaitu pengadil tidak boleh berkhidmat dalam mana-mana pertandingan tanpa kebenaran daripada ISTAF dan/atau ASTAF dan/atau ahli Persekutuan Negara Gabungannya,” kata Lorhpipat dalam satu kenyataan hari ini.
Peringatan ASTAF itu adalah yang kedua dikeluarkan selepas 2 Disember lalu susulan terdapat desas-desus pengadil dari Malaysia enggan menuruti arahan itu.
Terdahulu, kejohanan itu tidak mendapat pengiktirafan dan kelulusan ASTAF selepas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) disingkirkan sebagai ahli gabungan ASTAF Mei lalu.