Dewan Rakyat dimaklumkan kerusi Parlimen Kemaman kosong
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menerima pemakluman kekosongan kerusi PArlimen Kemaman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam satu kenyataan berkata, sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan berkenaan.
“Dimaklumkan bahawa saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menerima surat bertarikh 11 Oktober 2023 daripada Pengerusi SPR yang memaklumkan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi Parlimen Kemaman.
“Sehubungan dengan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari turut menjelaskan, ia selari dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober lalu yang telah mengeluarkan Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Ia mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen P040 Kemaman pada 19 November 2022 adalah terbatal.
Bagaimanapun, katanya, pilihan raya diadakan semula kerana penyandang kawasan itu, Che Alias Hamid tidak mengemukakan rayuan sehingga tempoh rayuan berakhir pada 10 Oktober lalu, selaras dengan Seksyen 36A Akta 5 kepada pihak Mahkamah Persekutuan.
Sponsored by Egroup88