DBKL usaha jadikan KL sifar miskin tegar
KUALA LUMPUR: Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) mampu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan pakej itu, berkata dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dan akan melaksanakan beberapa inisiatif.
Beliau berkata, antara lain DBKL kini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar.
Katanya, bagi membolehkan warga kota mendapat kehidupan lebih selesa, DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan keluasan minimum 750 kaki persegi.
“Selain itu, DBKL akan menjamin kehidupan yang sihat, menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna.
“DBKL juga menggerakkan aktiviti ekonomi, menaik taraf gerai penjaja di pusat penjaja usang termasuk kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen,” katanya berucap sempena Majlis Ulang Tahun ke-50 bandar raya Kuala Lumpur, malam ini.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
Ismail Sabri berkata, DBKL juga akan membuat pembaikan lif membabitkan 306 lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat/ Perumahan Awam (PPR/PA) dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
“Bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkatkan dengan melakukan pemantauan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal Kuala Lumpur Command and Control Centre.
“Menerusi pakej meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian menerusi PKKMKL, ia membabitkan urusan kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam.
“Permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil dan keputusan permohonan boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Ismail Sabri berkata, sebagai insentif untuk menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, pembayaran membabitkan semua fi permohonan, akan diberikan rebat 10 peratus sepanjang 2022.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, dalam menangani isu perubahan iklim dunia, beliau menyokong inisiatif Kuala Lumpur membantu kerajaan mencapai sasaran negara neutral karbon 2050, sekali gus ibu negara perlu maju seiring bandar raya besar lain.
Sponsored by Egroup88