Datuk Yong Soo Heong dipilih Presiden MPI
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Yong Soo Heong dipilih sebagai Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI).
MPI dalam kenyataan hari ini berkata, Yong, yang kini adalah Ketua Pengarang portal berita The Weekly Echo, dipilih menjawat jawatan itu melalui pemilihan tiga jawatan utama Majlis Pentadbir MPI pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan di Cyberjaya, hari ini.
Pengarang Kumpulan The New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim, dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala Pengarang Pengurusan Star Media Group, Brian Martin sebagai Naib Presiden.
Menurut MPI, tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Pentadbir yang terdiri daripada enam Ahli Majlis termasuk Yong, Farrah Naz dan Martin, berkuat kuasa sehingga mesyuarat Agung MPI diadakan sebelum pertengahan tahun depan.
Mengulas pemilihannya, Yong dalam kenyataan sama berkata, MPI perlu menjadi lebih inklusif dan relevan kepada industri media dengan mengadakan lebih banyak program latihan, sesuai dengan landskap media yang kian berkembang.
“Program-program latihan ini bertujuan untuk membantu melahirkan lebih ramai wartawan yang berkualiti dan berkebolehan tinggi dalam usaha membantu meningkatkan taraf kewartawanan di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, MPI akan menjemput lebih banyak organisasi media menyertai sebagai ahli dengan mengadakan kerjasama dan menggalakkan penglibatan semua pihak.
Sponsored by Egroup88