Dakwaan ADUN BN akan lompat parti sertai PN satu fitnah – Wan Rosdy
![Dakwaan ADUN BN akan lompat parti sertai PN satu fitnah – Wan Rosdy](https://orientasiberita.com/wp-content/uploads/2023/10/Screenshot-2023-10-04-214252.jpg)
BENTONG: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menyelar kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mungkin menyertai Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungan itu menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Sabtu ini.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri sebaliknya menyifatkan dakwaan Muhyiddin itu adalah satu bentuk fitnah yang bertujuan mengelirukan dan menakutkan rakyat serta pengundi menjelang PRK Pelangai.
“Ini satu budaya yang bagi saya tidak sihat…sebagai ahli politik kita sepatutnya cakap soal pengharapan dan kesejahteraan kepada rakyat. Bukan dengan sentimen menakut-nakutkan rakyat dan membuat cerita yang bukan-bukan,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Sembang Santai Veteran di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dalam ceramah perdana di FELDA Chemomoi semalam, yang mendakwa ada kemungkinan ADUN daripada BN akan menyertai PN sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Komposisi yang membentuk kerajaan negeri Pahang ketika ini terdiri 16 ADUN BN dan lapan ADUN Pakatan Harapan (PH), manakala PN mempunyai 17 ADUN.
Pahang antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang antilompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan semua 15 ADUN BN menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri pimpinannya dan perkara itu dimaklumkan sendiri semua ADUN terbabit kepadanya semalam.
“Mereka semua beri jaminan akan terus berdiri teguh dengan kerajaan yang ada pada hari ini dan menyokong kepimpinan saya,” katanya.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun daripada BN yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam di Selangor pada 17 Ogos lalu.
PRK pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni.
Sponsored by Egroup88