Dagangan di Bursa Malaysia ditutup tinggi
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini berikutan sokongan belian membabitkan saham wajaran tinggi terpilih, diketuai oleh Maybank dan Top Glove.
Prestasi yang dipamerkan itu juga sejajar dengan sentimen positif di pasaran serantau, didorong oleh prospek pemulihan ekonomi global yang menggalakkan.
Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.73 mata atau 0.52 peratus untuk mengakhiri urus niaga pada 1,500.32 berbanding 1,492.59 penutup Selasa.
Indeks utama dibuka 0.15 mata lebih tinggi pada 1,492.74 dan berlegar antara 1,492.74 dan 1,502.19 sepanjang hari.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi 450 berbanding 347, manakala 445 kaunter tidak berubah, 1,058 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.12 bilion unit bernilai RM1.60 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM1.67 bilion pada Selasa.
Naib Presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata ekuiti Malaysia berakhir lebih tinggi berikutan kegiatan memburu saham berharga murah dalam kalangan kaunter wajaran tinggi terpilih seperti sarung tangan, bank dan perjudian.
“Indeks serantau utama turut bergerak lebih tinggi, mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman di Wall Street. Namun begitu, pelabur tetap berhati-hati menilai risiko dan impak virus Omicron.
“Bagi bursa tempatan, kami berpendapat sentimen pelabur akan kekal tidak menentu, justeru, kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam aliran julat yang ketat antara 1,490-1,505 untuk baki minggu ini. Berdasarkan analisis teknikal, kita akan melihat tahap rintangan serta-merta pada 1,515 manakala sokongan pada 1,475,” katanya kepada Bernama hari ini.
Nikkei 225 Jepun naik 0.16 peratus kepada 28,562.21, Indeks Hang Seng Hong Kong meraih 0.57 peratus kepada 23,102.33, Indeks Straits Times Singapura susut 0.12 peratus kepada 3,081.31 dan Kospi Korea Selatan menambah 0.32 peratus kepada 2,984.48.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 8.0 sen kepada RM8.22, Public Bank dan IHH Healthcare menambah 2.0 sen setiap satu kepada RM4.10 dan RM6.55, CIMB meningkat 5.0 sen kepada RM5.38 manakala Petronas Chemicals susut 2.0 sen kepada RM8.77.
Bagi saham aktif, ATA IMS menokok 2.5 sen kepada 71.5 sen, manakala Fintec Global, Pasukhas dan DGB Asia tidak berubah, masing-masing pada 1.0 sen, 2.0 sen dan 3.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 49.53 mata kepada 10,884.95, Indeks FBMT 100 lebih tinggi 50.49 mata kepada 10,593.97, dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 44.94 mata kepada 11,658.38.
Indeks FBM 70 melonjak 48.43 mata kepada 13,889.29 dan FBM ACE naik 45.41 mata kepada 6,218.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 78.43 mata kepada 15,366.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh 0.15 mata kepada 194.41 dan Indeks Perladangan meningkat 10.62 mata kepada 6,385.35.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.97 bilion saham bernilai RM1.40 bilion berbanding 1.53 bilion saham bernilai RM1.45 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran mengembang kepada 208.36 juta unit bernilai RM28.12 juta berbanding 157.22 juta unit bernilai RM26.30 juta pada Selasa.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 939.87 juta saham bernilai RM166.53 juta daripada 762.83 juta saham bernilai RM189.78 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 223.76 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.14 bilion), pembinaan (26.81 juta), teknologi (131.14 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (46.09 juta), hartanah (149.34 juta), perladangan (5.87 juta), REIT (5.97 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (91.53 juta), penjagaan kesihatan (57.90 juta), telekomunikasi dan media (22.45 juta), pengangkutan dan logistik (46.82 juta ) dan utiliti (20.60 juta).