COVID-19 boleh cecah 30,000 kes sehari di Hungary

BUDAPEST: Kes harian COVID-19 di Hungary dijangka mencecah 30,000 jangkitan dalam tempoh satu atau dua minggu, berbanding sekitar 20,000 kes minggu ini.
Menteri Sumber Manusia Hungary, Miklos Kasler, dalam satu video di Facebook, berkata jangkaan itu didorong oleh penularan varian Omicron yang amat mudah berjangkit.
Katanya, walaupun individu dijangkiti varian itu menunjukkan gejala yang kurang serius, satu pertiga daripada penduduk Hungary yang tidak divaksin bakal berdepan risiko lebih tinggi.
Setakat ini, sekitar enam juta daripada 10 juta penduduk Hungary sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 dan hampir 3.6 juta sudah menerima dos penggalak, namun kadar vaksinasi negara itu agak ketinggalan di Eropah barat.
Hungary kini menawarkan vaksin kepada semua individu tanpa perlu pendaftaran awal dan pemberian dos penggalak kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun.
Pada 13 Januari lalu, kerajaan Hungary mengumumkan suntikan vaksinasi keempat tersedia untuk mana-mana individu yang mahukannya, selepas mendapat pandangan doktor.
Hungary kini mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan dan guru.
Pemakaian pelitup muka turut diwajibkan di kebanyakan premis tertutup sejak hujung November tahun lalu.
Sponsored by Egroup88