CIMB Group catat untung besar RM1.85 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd melonjak kepada RM1.85 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 daripada RM1.41 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan 2022, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan operasi yang lebih tinggi dan peruntukan lebih rendah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat itu menjelaskan perolehan pula meningkat kepada RM5.31 bilion daripada RM5 bilion bagi tempoh yang sama.

Menurut CIMB Group, pendapatan operasi pada suku yang dinilai meningkat 6.2 peratus tahun ke tahun untuk mencecah RM5.31 bilion berbanding angka pada suku yang sama sebelumnya.

“Kami berpuas hati dengan prestasi pada suku ini walaupun persaingan deposit semakin sengit di Malaysia.

“Pulangan atas ekuiti (ROE) kami terus bertambah baik, didorong oleh portfolio yang disusun semula dan prestasi kos kredit yang lebih baik,” jelasnya.

CIMB Group memaklumkan bahawa momentum pertumbuhan positif dapat dicatatkan dalam bidang yang menerima pelaburannya iaitu pengguna dan komersial di Malaysia, CIMB Digital Assets, dan merentas pasaran utamanya di Indonesia dan Singapura.

“Ini telah meletakkan CIMB Group untuk mencapai sasaran tahun kewangan 2023 memandangkan semakin menghampiri penghujung tahun,” tambahnya.

Bagi sembilan bulan 2023, keuntungan bersih CIMB Group meningkat 28 peratus kepada RM5.27 bilion daripada RM4.11 bilion bagi tempoh sama 2022, manakala perolehan melonjak kepada RM15.64 bilion daripada RM14.62 bilion bagi tempoh sama.

Menurut CIMB Group, pendapatan operasi bagi tempoh itu meningkat tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM15.64 bilion, dengan pendapatan faedah bersih turun sedikit sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun, sebahagian besarnya disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih.

Momentum pertumbuhan jumlah pinjaman kasar berterusan, meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun, disokong oleh permintaan kukuh merentas pasaran dan segmen, manakala deposit meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun walaupun persaingan deposit berterusan di semua pasaran.

“Jumlah baki akaun semasa akaun simpanan (CASA) meningkat sebanyak 2.1 peratus tahun ke tahun, menjadikan nisbah CASA sebanyak 39.2 peratus setakat September 2023,” menurutnya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata memandangkan CIMB Group menghampiri tahun akhir pelan strategik Forward23+, pihaknya kekal fokus untuk meningkatkan Casa dan deposit francais, dan berkembang dalam segmen sasaran di samping terus kekal memantau rapat kos dan kualiti aset.

“Antara segmen tumpuan kami adalah perniagaan pengurusan kekayaan dan kemewahan dengan penekanan khusus terhadap perbankan transaksi dan perniagaan rangkaian ASEAN serantau.

“Kami akan terus memanfaatkan minat dan permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan pelanggan untuk penyelesaian kewangan mampan dan Islam, dengan CIMB telah membina rekod prestasi yang kukuh dalam bidang ini, setelah merintis pelbagai urus niaga penting dan tawaran inovatif sejak beberapa tahun laluj,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.