Buluh rebung dicari, bom mortar ditemui

MELAKA: Hasrat seorang wanita yang ingin mencari buluh rebung terbantut sebaik menemui sebutir bom mortar di kawasan kebun di Taman Tanjung Minyak, di sini, hari ini.

Bom jenis mortar 60 milimeter (mm) itu ditemui di dalam semak pada jam 3.05 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 3.15 petang daripada seorang wanita berusia 32 tahun.

Beliau berkata, maklumat awal diterima mengatakan terdapat objek disyaki bom mortar ditemui sebelum sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bergegas ke lokasi kejadian.

“Selepas menjalankan gerakan pencarian secara menyeluruh di sekitar kawasan penemuan iaitu kawasan kebun berdekatan rumah, polis mendapati tiada sebarang objek lain yang mencurigakan.

“Bom itu ditemui dalam keadaan berkarat dan dipercayai sudah dilancarkan selain pemeriksaan lanjut juga mendapati ia sepanjang 30 sentimeter (cm) serta berukur lilit 20 cm selain mempunyai diameter 60 mm,” katanya.

Katanya, bom mortar itu juga disahkan tiada mengandungi bahan letupan dan dibawa balik untuk pelupusan.

“Objek kemudian dibawa balik ke pangkalan bagi tindakan lanjut kerana kawasan terbabit tidak sesuai untuk melupuskan barang kes,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.