‘Bukan aneh dengan 13 pasukan’
KUALA LUMPUR: Berdasarkan kegagalan Perlis United FC (PUFC) mendapatkan lesen kebangsaan untuk bertanding di Liga Super 2024/25, senario divisyen elit bola sepak negara akan berubah sedikit selepas hanya menampilkan 13 pasukan untuk bertanding.
Bagaimanapun, ini bukanlah satu situasi yang ‘pelik’ apabila Liga Super menampilkan jumlah bilangan pasukan yang ganjil kerana ia pernah berlaku pada musim 2007/08 di mana 13 pasukan turut menyertai kancah Liga Super ketika itu.
Malah berdasarkan semakan, ada beberapa liga yang turut menampilkan jumlah pasukan yang ganjil antaranya Major League Soccer (MLS) musim 2018 iaitu 11 pasukan di Konfederens Utara dan 12 pasukan di Konferens Barat sekali gus menjadikan 23 pasukan berentap dalam musim sebenar.
Liga Super India bagi musim 2020/21 juga berlangsung dengan hanya 11 pasukan susulan penggabungan Mohun Bagan dan ATK untuk membentuk pasukan baharu iaitu ATK Mohun Bagan.
Liga Super Turki yang kebiasaannya menampilkan 18 pasukan memutuskan untuk membatalkan proses penyingkiran susulan pandemik COVID-19 sekali gus menyaksikan 21 pasukan berentap bagi musim 2020-21 namun ia hanyalah untuk satu musim.
Liga utama Cameroon dibahagikan kepada dua kumpulan dengan sembilan pasukan sementara Liga Kenya 2019/20 dikurangkan kepada 17 pasukan selepas tiga perlawanan susulan bekas juara, Sony Sugar disingkirkan atas kegagalan tidak beraksi dalam tiga perlawanan pertama.
Liga utama Mexico iaitu Liga MX dibahagikan kepada dua kempen pada setiap musim iaitu Apertura dan Clausura dan walaupun kebiasaannya membabitkan 18 pasukan namun edisi 2019 menyaksikan 19 pasukan berentap di Apertura selama 19 minggu.
Liga Divisyen 3 Jepun pernah menampilkan 17 pasukan pada musim 2018.
Mengulas mengenai situasi Liga Super dengan 13 pasukan bagi musim ini, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengakui perkembangan itu akan memberi sedikit kesan kepada penjadualan bagi hari perlawanan.
Namun Stuart menegaskan ia sama sekali tidak akan menjejaskan kerancakan liga dengan beliau yakin 13 pasukan yang tampil beraksi bagi musim 2024/25 sudah pasti akan memberikan saingan yang terbaik kepada penyokong setia kancah bola sepak tempatan.
“Akan ada satu pasukan yang berehat dan situasi ini mungkin sedikit luar biasa, sebagaimana kita tahu kita cuba sedaya upaya untuk memastikan kita ada 14 pasukan.
“Dengan adanya 13 pasukan ini, nombor hari perlawanan tidak berubah tetapi ada satu pasukan yang akan mendapat rehat tambahan. Ini memberi ruang kepada pasukan untuk berehat antara kalendar yang sibuk.
“Kalendar kita tidak berubah dan intensiti liga kita pun tidak akan berubah,” kata Stuart.
Sponsored by Egroup88