Bomba laung azan dalam usaha kesan mangsa tanah runtuh
Satu lagi mayat seorang lelaki ditemukan di lokasi pencarian tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Genting-Batang Kali hari ini.

BATANG KALI: Pelbagai usaha dijalankan pasukan Bomba dan penyelamat bagi mencari baki tujuh mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting, termasuk melaungkan azan di lokasi berkenaan.

Pegawai Bomba, Mohd Iqhmal Kamaruddin, berkata ini pertama kali dia diberi peluang melaungkan azan di lokasi bencana sebagai ikhtiar mencari orang hilang.

“Sebenarnya ini hasil perbincangan dengan dua pegawai kanan yang berada di Pos Kawalan Hadapan (PKH).

“Mereka merasakan pihak bomba belum pernah lagi laungkan azan di lokasi bencana jadi, mereka rasa mungkin ini salah satu cara yang boleh dilakukan.

“Sebab kita tahu, azan ini bukan saja untuk panggil orang bersolat tetapi ia juga membantu kita mencari orang hilang atau sesat,” katanya ditemui di lokasi tanah runtuh, hari ini.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan pada jam 2.42 pagi Jumaat lalu itu menyaksikan 61 orang selamat, 26 nyawa terkorban dan tujuh lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

Perincian mangsa meninggal dunia ialah 13 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa serta tiga kanak-kanak perempuan.

Mohd Iqhmal yang bertugas di Cawangan Pendakwaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, beberapa minit selepas beliau melaungkan azan, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mayat mangsa ke-26 yang juga seorang lelaki dewasa dalam keadaan berpelukan dengan anjing peliharaannya.

“Lepas azan bukanlah terus jumpa, ia beberapa minit kemudian namun syukurlah kita dapat petanda positif kedudukan mayat berkenaan.

“Semalam memang sepatutnya ada ura-ura jumpa dua mayat, tetapi sebab keadaan yang terlampau gelap sangat serta bahaya jadi terpaksa sambung (operasi SAR), hari ini,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.