Mohamad (tengah) hadir pada majlis Pra-Pelancaran Jentera PRU-15 BN Terengganu, hari ini.

CHUKAI: Barisan Nasional (BN) kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata apa yang lebih penting, BN perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan di semua kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan sendiri.

Beliau berkata, BN juga membuat keputusan untuk menyelesaikan isu dalaman seperti pergeseran dan perbalahan di kawasan yang menyebabkan BN kalah sebelum ini.

“Saya sudah minta kepada semua ketua bahagian supaya menyelesaikan isu di kawasan masing-masing yang bermasalah termasuk cah keting dan sebagainya.

“Apabila perkara itu dapat kita ubah dengan serius, kita yakin BN akan menang di lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, sekali gus kembali memerintah negara,” katanya selepas Majlis Pra-Pelancaran Jentera PRU-15 BN negeri di Pantai Penunjuk Kijal, Kemaman, petang tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zamri Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan dibuat beberapa penganalisis politik daripada universiti awam berhubung tiada parti politik yang akan mendominasi keputusan PRU-15 nanti.

Mohamad berkata, beliau percaya BN akan mencapai kemenangan yang membanggakan berikutan semakin ramai rakyat kembali menyokong BN untuk memulihkan kembali kestabilan negara.

“Berdasarkan pencapaian pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Melaka dan Johor kita boleh melihat rakyat semakin yakin dengan BN untuk memerintah negara, malah rakyat sudah tahu tiada parti yang mampu membawa kemajuan dan kestabilan politik selain UMNO dan BN,” katanya.

Mohamad berkata, selama empat tahun negara masih berada dalam ekonomi yang tidak stabil berbanding negara lain yang lebih teruk diserang COVID-19, tetapi ekonominya melonjak kerana ramai pelabur asing datang melabur disebabkan politiknya yang stabil.

“Kita berharap rakyat kembali menyokong kita demi memulihkan kembali kestabilan negara,” katanya.

Ditanya sekiranya BN tidak memperoleh kemenangan untuk membentuk kerajaan sendiri, Mohamad berkata, BN akan berusaha berunding dengan parti lain bagi membentuk kerajaan.

“Ramai beranggapan BN akan pergi dengan pelbagai parti lain pada PRU-15 nanti, keputusan kita masih kekal bergerak solo dengan disokong parti komponen kita.

“Apa yang penting, parti yang akan bekerjasama dengan kita itu mestilah parti yang mengikuti agenda yang sama dengan kita,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, Dewan Tertinggi BN akan membincangkan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN pada Isnin ini.

“Perkara ini perlu diputuskan secara konsensus dan BN tidak boleh buat keputusan bersendirian, sebaliknya perlu mendapat pandangan dan sokongan parti gabungan yang lain,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.