BN perlu menang di Pelangai, sekat ‘gelombang hijau’ ke Pahang

BENTONG: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai penting bagi menyekat ‘gelombang hijau’ Perikatan Nasional (PN) ke Pahang.

Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNP Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kemenangan BN akan menyemarakkan semangat UMNO yang agak terjejas susulan persembahan hambar parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, bulan lalu.

“PRK ini penting kerana kita semua tahu keputusan PRN di enam negeri bulan lalu.

“Kita kehilangan kerusi di Kelantan, Kedah dan Terengganu, jadi saya harap kita dapat menyekat langkah PN ke Pahang di Pelangai… kalah bukan pilihan.

“Peluang kita mungkin tidak begitu meyakinkan di atas kertas tetapi keadaan sudah berubah. Walaupun PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menyaksikan peningkatan pengundi menyokong kita, persaingan di Pelangai ialah antara UMNO dan PAS, itu hakikatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum majlis pelancaran jentera BN bagi DUN Pelangai yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Dataran Simpang Pelangai di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO merangkap Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; dan Timbalan Pengerusi PH Pahang, Zulkifli Mohamed.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini susulan kematian penyandang kerusi, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad.

Wan Rosdy berkata, UMNO Bentong sudah menyatakan bai’ah (kesetiaan) untuk menyokong calon yang dipilih.

“Siapa pun calon dinamakan parti akan mendapat sokongan penuh dan meraih kemenangan besar pada 7 Oktober ini.

“Saya tak nak selepas kita umum calon, ada yang tutup bilik gerakan sebab tak setuju dengan calon. Kita orang parti, kita sokong pilihan parti,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.