Biasiswa OUM bakar semangat Thinaah
PETALING JAYA: Biasiswa daripada Open University Malaysia (OUM) menjadi pembakar semangat buat pemain beregu wanita utama negara M Thinaah, menjelang Terbuka Perancis di Paris pada 5 hingga 10 Mac ini.
Thinaah yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua – TESL) di OUM sejak Mei 2020 berkata biasiswa berkenaan menjadi pendorong untuknya memenangi kejohanan itu bersama gandingannya Pearly Tan.
“Saya percaya (biasiswa) merupakan motivasi terbaik untuk saya. Ya, (kejayaan di Terbuka Perancis) adalah sasaran saya.
“Saya rasa persiapan kita sangat baik. Kita harapkan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menerima biasiswa itu hari ini.
Gandingan di ranking ke-15 dunia itu akan memulakan kempen di Terbuka Perancis berdepan pasangan China yang juga beregu kelima dunia Zhang Shu Xian-Zheng Yu.
Pearly-Thinaah muncul beregu wanita Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Perancis selepas menewaskan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15 pada final edisi 2022.
Mengulas mengenai pengajiannya, pemain berusia 26 tahun itu berkata Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL menjadi pilihan kerana beliau sangat meminati bahasa Inggeris sejak kecil.
“Memandangkan saya sering mengembara, bahasa Inggeris sangat penting,” katanya.
Thinaah berkata pengajian tidak menjejaskan kerjaya sukannya, kerana OUM menyediakan pembelajaran secara dalam talian yang lebih fleksibel.
Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata universiti berkenaan menyediakan sokongan kewangan penuh kepada Thinaah bagi tempoh Januari 2023 hingga Mei 2024.
Ahmad Izanee berkata OUM memutuskan untuk menawarkan biasiswa itu kepada Thinaah kerana kagum dengan prestasi akademiknya pada masa sama menunjukkan pencapaian luar biasa dalam sukan badminton.
Sponsored by Egroup88