‘Beri pas pekerjaan sementara kepada pelarian Rohingya’- Najib
Najib Tun Razak

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan dua pilihan kepada kerajaan bagi menyelesaikan isu tahanan Rohingya.

Menurut beliau, antara cadangan tersebut adalah, memberikan pas pekerjaan sementara kepada pelarian tersebut.

Jelasnya, ia bagi memberi peluang kepada masyarakat Rohingya itu menyumbang kepada ekonomi negara secara sementara sebelum mengambil pekerja asing dari negara lain.

“Memandangkan negara sedang menghadapi masalah kekurangan pekerja yang begitu lama dan sedang mengusahakan pengambilan pekerja asing secara besar-besaran dari negara-negara tertentu, ianya lebih wajar bagi golongan ini diberi pas pekerjaan sementara,” katanya pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penguat kuasa menahan masyarakat Rohingya selama dua tahun sebagai isyarat Malaysia tidak berkompromi terhadap kumpulan yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Jelas Hamzah, semua yang ditahan itu tertakluk kepada undang-undang negara ini.

Mengulas lanjut, Najib turut mencadangkan agar kerajaan meningkatkan usaha diplomasi untuk menempatkan pelarian itu ke luar negara secepat mungkin.

“Dari segi kemanusiaan, kerajaan perlu buat sesuatu bagi golongan ini sekiranya Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan lain-lain negara masih tidak mahu mengambil mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk Malaysia membiarkan tahanan tersebut ditahan begitu lama.

“Kerajaan terus menanggung kos yang tinggi untuk mengawal mereka dalam depot-depot tahanan,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.