‘Beras pulang ke bendang’

TUMPAT: Sebuah kereta yang terbabas ke sawah ketika pemandunya cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa, dikesan sarat dengan muatan beras seludup.

Kejadian dilaporkan kira-kira jam 5.30 petang di Kampung Cherang, Chabang Empat di sini pada Isnin lalu, selepas anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) melihat sebuah Proton Wira Aeroback dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Telaga Bata.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, anggota PGA8 mengarahkan pemandu Proton Wira itu berhenti.

“Bagaimanapun, lelaki itu memecut keretanya menuju jalan besar menghala ke Chabang Empat.

“Pihak berkuasa mengejar kenderaan itu sehingga ke Kampung Cherang iaitu kira-kira lima kilometer (km) sebelum kenderaan suspek terbabas dan memasuki sawah.

“Pemandunya sempat melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan belum dapat dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azmir berkata, pemeriksaan dalam kereta itu menemui 32 guni beras seberat 800 kilogram (kg) di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta.

Katanya, beras itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan semua rampasan termasuk kereta dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk siasatan lanjut.

“Usaha mengesan pemandu kenderaan itu giat dijalankan,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 17 saat yang memaparkan insiden sebuah Hilux mengejar kereta Proton Wira Aeroback di sebuah jalan kampung dan sempat dirakam orang awam tular di media sosial.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.