Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

KUALA LUMPUR: Seorang bapa sanggup menampar, memukul dan memijak kepala anak perempuannya berusia 16 tahun hingga cedera hanya kerana mangsa enggan ke rumah saudaranya untuk meminjam wang.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Pangsapuri Sagaria di Taman Saga, dekat Ampang di sini, kira-kira jam 7.55 malam semalam ketika pertengkaran berlaku antara bapa dan ibu mangsa berkaitan isu wang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata suspek menyuruh ibu mangsa meminjam wang daripada ahli keluarganya yang lain, namun wanita itu enggan menyebabkan suspek marah dan menarik rambutnya.

“Suspek kemudian menyuruh mangsa menemankan ibunya pergi meminjam wang dengan ahli keluarga lain, tetapi mangsa enggan. Perkara itu menyebabkan suspek semakin berang dan menghambur kata-kata kesat terhadapnya.

“Lelaki itu kemudian menampar kepala sebelah kanan, menolak badan dan memukul serta memijak kepala mangsa sehingga mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan laporan polis diterima, pihaknya menahan suspek yang berusia 50 tahun di tepi Jalan Saga 6A di Taman Saga jam 4 pagi tadi untuk membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham dalam keluarga berkenaan isu wang dan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa tidak mendengar cakapnya,” katanya.

Beliau berkata, semasa kejadian suspek yang tidak bekerja itu berada di bawah pengaruh alkohol.

Suspek kini direman empat hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada perbuatan sengaja menyebabkan kecederaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.