Banjir makin buruk di Beluran

BELURAN: Paras air 11 sungai di daerah ini meningkat dan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) turut bertambah sehingga jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, empat sungai dilaporkan di kawasan Tagas-tagas, lima di kawasan Paitan dan dua sungai di kawasan Telupid.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan tiga jalan utama dinaiki air.

“Antara jalan yang dinaiki air adalah Jalan Utama Kampung (KG) Pinangkau, Jalan Kampung Sokoon dan Jalan Estet Meridian Kampungg Tangkarason namun masih boleh dilalui oleh kenderaan.

“Jalan utama Kampung Batangon Darat pula dinaiki air dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan.

“Tiga jalan kampung turut dinaiki air namun masih dapat dilalui iaitu Jalan Kampung Sualok, Kampung Berayung dan Kampung Kiabau,” katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Kasim berkata, selain itu beberapa jalan kampung turut terjejas dan tidak dapat dilalui iaitu Jalan ke Balai Tagas-tagas, Jalan Pamol dan Jalan Kampung Perancangan.

“Terdapat 19 kampung pula dilaporkan terputus hubungan iaitu enam buah kampung di Telupid iaitu Kampung Perancangan, Kampung Toniting, Kampung Gana Jati, Kampung Terasak, Kampung Biru-biru dan Kampung Berayung.

“Sepuluh buah kampung membabitkan kawasan Tagas-tagas iaitu Kampung Talongan, Kampung Bayok, Kampung Klagan, Kampung Lumatik, Kampung Pisang, Kampung Kamansi, Kampung Bambangan, Kampung Sualok, Kampung Rungus dan Kampung Cenderamata.

“Bagi kawasan Paitan pula terdapat tiga buah kampung terbabit iaitu Kampung Batangon Laut, Kampung Batangon Darat dan Kampung Puru Batu,” katanya.

Kasim berkata, setakat ini sebanyak lima buah PPS dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SM) Pamol menempatkan 13 orang mangsa dan PPS Dewan Kampung Binsulung menempatkan 25 mangsa.

“Di Dewan Kampung Balaban seramai 37 orang, Dewan Bakong-Bakong seramai lima orang serta Dewan Rancangan Nangoh menempatkan 21 orang mangsa,” katanya.

Kasim berkata, terdapat 20 kampung yang dikategorikan sebagai titik panas banjir berdasarkan rekod banjir sebelum ini.

“Situasi semasa hujan di semua kawasan mengakibatkan kemungkinan paras air meningkat dan berisiko banjir kilat.

“Pihak kami menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menyimpan dokumen-dokumen penting dalam keadaan selamat dan mudah dibawa,” katanya.

Menurutnya, setakat ini seramai 60 orang ditugaskan untuk mengawal selia keadaan semasa membabitkan pelbagai agensi.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.