Baiki ban pecah Sungai Langat dijangka siap selewatnya 5 hari
SHAH ALAM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menjangkakan kerja pembaikan ban pecah di Sungai Langat mengambil masa antara tiga hingga lima hari untuk disiapkan.
Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu menjelaskan, kerja pembaikan ban pecah di kawasan RTB Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang itu bergantung pada keadaaan cuaca.
“Kerja-kerja pembaikan ban ini membabitkan penggunaan struktur ‘steel sheetpile’ dan tanah di mana angkah ini bertujuan mengukuh dan menstabilkan ban sedia ada.
“Penggunaan batang kelapa sawit pula untuk pengukuhan laluan jentera berat di kawasan pembinaan itu. Selain itu, batang kelapa sawit juga digunakan sebagai halangan sementara bagi mengurangkan limpahan air sungai sebelum kerja pembaikan ban dilaksanakan,” demikian kenyataan itu.
Menurut jabatan berkenaan, ketika ini, JPS Selangor sedang memfokuskan kepada kerja pembinaan saluran keluar air banjir menggunakan pam khas ke Sungai Langat.
“Penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta agar sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa. Maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my juga facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan penduduk Bukit Changgang mengambil inisiatif sendiri menutup ban pecah dengan batang kelapa sawit kerana bimbang air naik lagi.