Azalina setia bersama UMNO walaupun tewas saingan Naib Presiden
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Azalina Othman Said berjanji akan terus kekal setia bersama UMNO, walaupun tewas dalam pemilihan jawatan Naib Presiden parti itu semalam.
Azalina yang kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Pengerang, berkata walaupun tidak terpilih dalam saingan itu, namun ia tidak sedikitpun mematahkan semangatnya.
Katanya, pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 menyaksikan suara perwakilan di seluruh negara dan beliau berlapang dada serta menghormati pilihan perwakilan.
“Saya masih setia dalam perjuangan ini demi masa depan parti yang saya cintai. Jiwa dan raga saya tetap bersama UMNO walau di mana jua saya berada.
“Walaupun percubaan kali pertama saya ini gagal, namun bagi saya keputusan saya menawarkan diri diambil hanyalah demi kebaikan parti UMNO supaya ia dilihat lebih terbuka dan progresif bagi mendepani cabaran semasa politik negara.
“Tahniah diucapkan kepada seluruh kepimpinan di semua peringkat terutamanya kepada barisan Naib Presiden yang baharu dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang telah dipilih.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua perwakilan di seluruh negara yang telah mengundi saya,” katanya dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebooknya, malam ini.
Pemilihan Naib Presiden UMNO menyaksikan penampilan dua muka baharu untuk mengisi tiga jawatan itu pada pemilihan kali ini.
Dua muka baharu iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Seorang lagi penyandang jawatan itu yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berhasil mempertahankan kedudukannya.
Sponsored by Egroup88