Aubameyang dilucut jawatan kapten Arsenal

LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang dilucutkan jawatan sebagai kapten Arsenal berikutan pelanggaran disiplin, kata kelab itu, hari ini.

Penyerang berusia 32 tahun itu diketepikan ketika kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Southampton, Sabtu lalu dan juga tidak akan beraksi menentang West Ham di Emirates, Khamis ini.

“Susulan pelanggaran disiplin terbarunya minggu lalu, Pierre-Emerick Aubameyang tidak lagi menjadi kapten kelab kami dan tidak akan dipertimbangkan untuk disenarai bagi perlawanan menentang West Ham United,” kata Arsenal dalam satu kenyataan.

“Kami harap semua pemain, terutama kapten, untuk bekerja mengikut peraturan dan piawaian yang sudah ditetapkan dan dipersetujui.”

Menurut The Athletic, Aubameyang lewat kembali daripada lawatan peribadi ke Perancis minggu lalu, yang menyaksikan dia terlepas latihan kerana perlu melepasi protokol coronavirus.

Aubameyang juga diketepikan oleh pengurus Mikel Arteta ketika pasukannya mengatasi pesaing London utara, Tottenham pada Mac atas isu disiplin apabila dia tiba lewat untuk perjumpaan pra perlawanan.

“Ia bukan situasi yang mudah atau situasi yang kami mahukan, untuk mempunyai kapten kelab kami dalam situasi itu,” kata Arteta pada Sabtu.

Aubemayang ditugaskan sebagai kapten Arsenal pada 2019 selepas Granit Xhaka turut dilucutkan jawatan itu kerana mencemuh penyokong selepas diganti dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.