Aruwin janji aksi terbaik di Beijing

KUALA LUMPUR: Semangat membara dan keterujaan mengiringi peluncur ski wanita negara, Aruwin Salehhuddin yang akan membuka langkah sulungnya di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, esok.

Aruwin, 17, yang melakar sejarah menjadi atlet wanita pertama Malaysia beraksi di temasya berprestij itu akan beraksi dalam acara giant slalom yang membuka tirainya di Pusat Alpine Skiing Kebangsaan Yanqing.

“Saya sangat teruja dan berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di temasya berprestij ini.

“Sudah tentu saya berharap dapat tampil dengan aksi terbaik dan beraksi dengan sepenuh kekuatan untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Aruwin yang menerima sentuhan jurulatih persendirian dari Croatia, Mladen Bezjak itu cukup bertuah kerana perjalanannya dalam karier sukan disokong penuh bapanya, Salehhuddin Ayob yang juga bekas atlet kenu dan pernah beraksi di Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Malah, atlet yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat itu turut disokong penuh ibunya, Siti Alpiah Tunggal yang sanggup berkorban masa dan wang demi pembabitan anaknya dalam sukan itu.

Daripada sokongan yang diterimanya itu, Aruwin yang mula menjinakkan diri dalam sukan berkenaan sejak berusia dua tahun, turut memperoleh pencapaian memberangsangkan antaranya berada dalam kelompok 10 terbaik dalam acara slalom di Kranjska Gora, Slovenia pada Januari 2021.

Dia turut melakar dua penamat di tempat kesembilan dalam satu kejohanan yang berlangsung di Soriska Planina, Slovenia pada Disember 2021 selain berada di tangga ke-23 di Kejohanan Kebangsaan Latvia 2021.

Selain Aruwin, kontinjen Malaysia turut diwakili seorang lagi atlet yang beraksi dalam sukan sama iaitu Jeffrey Webb dan atlet berusia 23 tahun itu dijadual membuka tirai saingannya pada 16 Februari ini.

Untuk rekod, pada edisi penampilan sulung Malaysia dalam temasya itu di Pyeongchang 2018, kontinjen negara diwakili Jeffrey dan peluncur ais, Julian Yee.

Julian menamatkan saingan di kedudukan ke-25 bagi acara perseorangan lelaki manakala Jeffrey menduduki tempat ke-68 dalam acara giant slalom lelaki namun gagal menamatkan acara slalom.

Biodata

Aruwin Salehhuddin

Sukan: Alpine Skiing

Tarikh lahir: 14 Februari 2004

Kerjaya: Pelajar dan atlet

Nama kelab: Ski Malaysia

Jurulatih: Mladen Bezjak (Croatia)

Penampilan sulung: FIS Santa Caterina 2020 (ke-54 slalom)

Pencapaian:

– Tempat ke-31 acara slalom di Kejohanan Remaja Dunia di Bansko, Bulgaria 2021 (kali pertama atlet Malaysia beraksi dan menamatkan acara)

– Tiga penamat dalam kelompok 10 terbaik termasuk kelapan dalam acara slalom di Kranjska Gora 2021.

– Dua penamat di tempat kesembilan di Soriska Planina pada Disember 2021.

– Tempat ke-23 Kejohanan Kebangsaan Latvia 2021 dalam acara slalom

– Tempat ke-55 acara slalom Kejohanan Kebangsaan Ireland 2021

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.