ARRC kembali tahun depan

KUALA LUMPUR: Selepas dua musim ‘sepi’ disebabkan penularan pandemik COVID-19, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bakal kembali menghangatkan arena permotoran dua roda bermula Mac depan.

ARRC 2022 dijadual membuka tirainya dengan ujian rasmi selama dua hari dari 22 hingga 23 Mac di Litar Antarabangsa Chang, Thailand sebelum pusingan pertama berlangsung selang dua hari kemudian di litar sama.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menjadi tuan rumah bagi Pusingan 2 yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 29 Mei manakala pusingan seterusnya masih belum dapat ditentukan.

Litar Antarabangsa Sugo, Jepun menjadi lokasi bagi Pusingan 4 dari 12 hingga 14 Ogos manakala Litar Antarabangsa Zhuhai, China diberi tanggungjawab bagi Pusingan 5 (9 hingga 11 September).

Litar Antarabangsa Chang bakal menjadi Pusingan kemuncak musim dari 18 hingga 20 November.

“Selepas dua tahun tanpa aktif, tentunya kami tidak sabar untuk kembali mengumpulkan grid Asia semula. Dua tahun ini menjadi tempoh yang sangat mencabar bagi paddock ARRC.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan kerana terus bersabar dan memahami,” kata Pengarah Two Wheels Motor Racing (TWMR), Ron Hogg.

“Kami jangkakan akan kembali ke The Bend Motorsport Park, Australia pada 2023 apabila kami berharap keperluan perjalanan antarabangsa dapat dipermudahkan lagi.

“Apa yang penting, kami tidak sabar untuk penampilan pertama ARRC di Sugo!. Sebelum ini kami pernah beraksi di Autopolis International Race Course dan Litar Suzuka, maka Sugo akan menjadi lokasi baharu buat paddock Asia,” tambahnya.

Kalendar ARRC 2022

Ujian Rasmi (Litar Antarabangsa Chang, Thailand) 22-23 Mac

Pusingan 1 (Litar Antarabangsa Chang, Thailand) 25-27 Mac

Pusingan 2 (Litar Antarabangsa Sepang) 27-29 Mei

Pusingan 3 (*belum ditentukan) 1-3 Julai

Pusingan 4 (Litar Antarabangsa Sugo, Jepun) 12-14 Ogos

Pusingan 5 (Litar Antarabangsa Zhuhai, China) 9-11 September

Pusingan 6 (Litar Antarabangsa Chang, Thailand) 18-20 November

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.