ARMADA Kedah tolak keputusan Muhyiddin berundur

ALOR SETAR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Kedah tidak bersetuju dengan keputusan dibuat Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengundur diri dari mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti tahun hadapan.

Ketuanya, Mohd Saffuan Sabari, berkata setakat ini pihaknya melihat belum ada pemimpin yang sesuai untuk menggantikan Muhyiddin.

Katanya, BERSATU masih memerlukan Muhyiddin untuk mengemudi parti itu dan sekiranya bekas Perdana Menteri itu berundur, pasti akan ada pertandingan untuk merebut jawatan presiden.

“Sekiranya ia berlaku, maka berkemungkinan akan berlaku perpecahan di peringkat atasan.

“BERSATU masih baharu dan masih muda, malah masih banyak lagi yang perlu dilakukan Muhyiddin sebagai orang lama dalam politik.

“Justeru, kami berharap Muhyiddin menarik balik kenyataan itu dan kami mahu jawatan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mohd Saffuan berkata, Muhyiddin juga perlu melakukan rombakan bagi jawatan Ketua Badan Pimpinan Negeri yang dilantik oleh presiden yang bertujuan untuk pengukuhan parti di peringkat negeri.

Beliau berkata, akar umbi di peringkat negeri terutama di Kedah memerlukan seorang ketua yang bertanggungjawab dan bekerja keras untuk parti.

Media hari ini melaporkan, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun depan.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Perhimpunan Agung BERSATU 2023 yang sedang berlangsung kini akan menjadi yang terakhir disertai beliau selaku Presiden BERSATU.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.