Angka kematian perang Ukraine meningkat 1,982 orang – PBB
Seorang wanita berjalan di padang dan bangunan yang rosak selepas dibedil tentera Russia di kawasan Vitryani Hory di Kyiv, Ukraine.

ANKARA: Angka kematian orang awam dalam perang Russia-Ukraine meningkat kepada 1,982 orang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Sekurang-kurangnya 2,651 mangsa cedera di Ukraine sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu, menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Anadolu Agency.

“Kebanyakan korban awam berpunca daripada kesan penggunaan senjata letupan dengan kawasan impak yang luas, termasuk tembakan daripada artileri berat serta sistem roket pelbagai pelancaran dan serangan udara,” katanya.

Data Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) pula menunjukkan bilangan individu yang meninggalkan Ukraine sejak perang bermula, sudah meningkat kepada lebih 4.63 juta.

Kebanyakannya berhijrah ke negara jiran, iaitu lebih 2.72 juta orang ke Poland, 726,857 (Romania), 484,725 (Russia), 447,053 (Hungary), 419,499 (Moldova), 329,597 (Slovakia) dan 22,827 (Belarus)

Berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal di Ukraine, dengan kemas kini daripada Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) awal minggu ini merekodkan jumlah 7.1 juta.

“Serangan ketenteraan berterusan terhadap Ukraine meletakkan nyawa kira-kira 2.7 juta orang kelainan upaya dalam risiko,” kata OHCHR dalam kenyataan berasingan.

OHCHR berkata, pihaknya juga menerbitkan satu kenyataan, menekankan bahawa jawatankuasa amat terganggu berikutan nasib orang kelainan upaya di Ukraine sebahagian besarnya masih tidak diketahui.

“Terdapat laporan ramai orang kelainan upaya, termasuk kanak-kanak, terperangkap atau ditinggalkan di rumah mereka, institusi penjagaan dan rumah anak yatim tanpa akses kepada ubat-ubatan, bekalan oksigen, makanan, air, sanitasi, sokongan untuk kehidupan seharian dan kemudahan asas lain.

“Beberapa orang kelainan upaya dilaporkan kehilangan tempat tinggal atau sudah tiba di sempadan Ukraine, sekali gus menunjukkan ramai daripada mereka tidak dapat melarikan diri ke tempat selamat,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.