Ahli Parlimen Segamat keluar BERSATU?
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, dilaporkan keluar daripada BERSATU.
Berdasarkan satu sumber, Santhara dilaporkan sudah menyerahkan surat untuk keluar daripada BERSATU kepada Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, minggu lalu.
Kata sumber berkenaan, langkah Santhara itu dibuat selepas beliau berasakan masa depannya sebagai Ahli Parlimen bukan Bumiputera dalam parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin gelap.
“Presiden juga tahu mengenainya, namun pada masa ini pimpinan parti BERSATU masih memujuknya untuk mengubah fikiran.
“Namun, dia tetap akan meneruskan langkahnya untuk keluar daripada BERSATU,” katanya seperti dilaporkan oleh portal dalam talian, FMT.
Dengan langkah Santhara ini, BERSATU akan kehilangan satu-satunya Ahli Parlimen bukan Bumiputera.
Santhara adalah antara 10 Ahli Parlimen yang mengikuti langkah Datuk Seri Azmin Ali untuk keluar daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Sponsored by Egroup88