Agihan kerusi komponen PN diyakini adil, saksama
AMPANG: Agihan kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) diyakini tidak berdepan banyak masalah.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata agihan sesama parti komponen dapat diselaraskan secara bersama dengan mudah tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
“Insya-Allah, dengan kekuatan bersama, kita yakin tak banyak masalah sangat.
“Biasa isu (agihan) kerusi (dalam kalangan) PN cukup mudah untuk kita berbincang termasuk dengan GERAKAN supaya dapat diselaraskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis berbuka puasa sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.
Mengulas keputusan mengekalkan logo PAS di Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat pimpinan PN.
Katanya, ketetapan menggunakan logo PN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan turut diputuskan dalam mesyuarat sama.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, tiada masalah berbangkit dari segi persiapan jentera dan peralatan kerana pihaknya ‘mengitar semula’ aset seperti bendera yang digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Di negeri, dari segi persiapan peralatan kita tak hadapi masalah sangat sebab peralatan sudah ada.
“Semua yang dulu punya kita basuh, lipat dan gantung balik. Tak perlu banyak persiapan lagi sebab banyak peralatan sudah tersedia,” katanya.
Sponsored by Egroup88