Aaron-Wooi Yik tetap sasar gelaran sulung antarabangsa
KUALA LUMPUR: Walaupun kini menghampiri kelompok lima beregu lelaki terbaik dunia, pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menegaskan sasaran utama mereka tetap untuk merangkul gelaran sulung di pentas antarabangsa.
Semalam, kedudukan ranking pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu naik satu anak tangga di tangga keenam berdasarkan kemas kini terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kedudukan itu sekali gus menjadi kedudukan terbaik dalam kerjaya mereka sejak digandingkan pada 2017.
Aaron, 24, mengakui kedudukan ranking terbaru itu adalah satu petanda positif buat mereka tetapi menamatkan penantian bagi merekodkan kejuaraan pertama di pentas antarabangsa sentiasa menjadi keutamaan.
“Namun, kami enggan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri disebabkan terlalu dahagakan kejuaraan. Kami tahu apa yang perlu kami lakukan,” katanya.
Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik adalah enam kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.
Bagaimanapun, mereka berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina dan meraih gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dalam pada itu, Aaron menyifatkan kejayaan mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia di Bali, semalam sebagai permulaan yang baik buat mereka dalam misi memburu tiket ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF, bulan depan.
Ketika ini, pasangan itu berada di kedudukan kesembilan ranking kejohanan akhir musim itu dan perlu berada dalam kelompok lapan terbaik untuk layak.
“Satu permulaan yang baik buat kami di Terbuka Indonesia. Perlawanan pertama adalah sangat penting kerana perlu seberapa banyak mata yang boleh dalam kejohanan ini bagi layak ke Jelajah Dunia Akhir,” kata Aaron.
Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua selepas menewaskanpasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 25-23, 21-12, semalam. Mereka berdepan rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.