7 sekolah agama tangguh peperiksaan kerana banjir
KOTA TINGGI: Sekurang-kurangnya tujuh sekolah agama di sini terpaksa menangguhkan peperiksaan penggal kedua bagi darjah empat dan lima susulan banjir yang semakin memburuk.
Tujuh sekolah itu membabitkan Sekolah Agama Taman Sri Saujana, Sekolah Agama Bandar, Sekolah Agama Ladang Nam Heng, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi, Sekolah Agama Rantau Panjang, Sekolah Agama Teluk Mahkota dan Sekolah Agama Taman Kota Jaya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata bagi Sekolah Agama Taman Sri Saujana, penangguhan dibuat kerana ramai guru terbabit banjir dan masing-masing tidak dapat hadir ke sekolah.
“Sekolah Agama Bandar dan Sekolah Agama Ladang Nam Heng ditutup kerana terbabit banjir, manakala baki empat lagi sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kita menjangkakan beberapa buah sekolah agama lagi akan ditutup berikutan keadaan banjir yang meningkat,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Fared berkata, sekolah agama yang terjejas banjir atau pun menjadi PPS dibenarkan untuk bercuti dan menangguhkan peperiksaan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri memaklumkan tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan tersangkut dalam kejadian banjir di negeri ini setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan negeri, Norlizah Noh berkata, dalam ujian lisan bermula esok sehingga 29 Januari depan, calon SPM diberi kelonggaran tidak seperti ujian bertulis yang akan bermula 30 Januari depan.
“Jika berlaku banjir pada musim SPM, prosedur Ops Payung akan dikerahkan,” katanya.
Sponsored by Egroup88