52 kenderaan rosak ditimpa bumbung terbang

KUALA LUMPUR: Sebanyak 52 kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap bumbung beberapa unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi di sini, yang diterbangkan angin kencang berikutan hujan lebat dan ribut, petang tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 5.30 petang dan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan ke lokasi pada jam 7.21 malam untuk membuat pemantauan selepas menerima maklumat kejadian menerusi media sosial.

Pegawai APM Kuala Lumpur, Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari, berkata anggota daripada Bahagian Kejuruteraan dan Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut ke lokasi sebaik menerima laporan.

“Bancian pihak DBKL mendapati bumbung enam unit kediaman di blok A PPR terbabit mengalami kerosakan termasuk beberapa lagi unit kediaman di blok C, namun jumlah sebenar rumah terjejas masih dalam peringkat bancian.

“Kejadian ini turut menyebabkan 52 kenderaan penduduk yang diparkir di tempat parkir PPR itu mengalami kerosakan akibat ditimpa bumbung rumah dan struktur lain yang diterbangkan angin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.