510 projek nilai RM4.7 bilion di Johor tahun ini

JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan meluluskan 510 projek bernilai RM4.7 bilion untuk Johor bagi dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata peruntukan besar untuk Johor itu berikutan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan negeri itu.

Katanya, ia juga berikutan Kerajaan Persekutuan mahu meningkatkan ekonomi negara, selain melihat potensi Johor mampu menjadi sebuah hab ekonomi baharu.

Beliau berkata komitmen itu dizahirkan ketika delegasi Kerajaan Johor menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri 12 Menteri Kabinet, hari ini.

“Terdapat tujuh inisiatif dan projek pembangunan berimpak tinggi dibawa untuk perhatian mesyuarat membabitkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City dan Projek Naik Taraf Lebuh Raya.

“Selain itu, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB); kerja menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan pembinaan HSA2; kerja menaik taraf Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), diperincikan.

“Turut dibincangkan adalah cadangan Projek Penyuraian Trafik dan naik taraf pengangkutan awam Bandaraya Johor Bahru serta Projek Bekalan Air Johor, turut mendapat perhatian serius.

“Mesyuarat bersetuju supaya ketujuh-tujuh projek ini perlu disiapkan secepat mungkin, selain kementerian berkaitan serta kerajaan negeri akan melakukan pemantauan secara berkala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Johor bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan besar untuk pelbagai projek pembangunan Johor tahun ini.

“Ini juga adalah kali pertama mesyuarat seumpama ini diadakan di Putrajaya membabitkan Kerajaan Johor dengan 13 kementerian berkaitan bagi koordinasi secara menyeluruh projek pembangunan yang berimpak tinggi di negeri ini.

“Jutaan penghargaan juga kepada Menteri-Menteri Kabinet yang sebelum ini kerap turun padang ke Johor bagi melihat sendiri keadaan di sini bagi pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.