50 pengamal media berkumpul di Jabatan Forensik HTAR

KLANG: Kira-kira 50 pengamal media yang terdiri daripada pemberita, jurugambar dan jurukamera pelbagai agensi memenuhi pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Mereka tiba di Jabatan Forensik HTAR sejak jam 5.30 petang berikutan mayat mangsa pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie dibawa ke HTAR.

Kira-kira jam 8 malam, kelihatan keluarga waris mangsa nahas tiba di pekarangan Jabatan Forensik HTAR secara berperingkat.

Sementara, sekumpulan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan memasang khemah bagi Pos Kawalan berhampiran Jabatan Forensik HTAR.

Setakat ini, pihak media masih menunggu dan belum kelihatan sebarang kenderaan yang membawa mayat mangsa nahas.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 individu maut membabitkan lapan penumpang dan kru pesawat.

Dua lagi mangsa adalah orang awam menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang melalui jalan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.

Hussein berkata, pesawat peribadi itu dari Langkawi dan dijangka mendarat pada jam 2.50 petang bagaimanapun terhempas dua minit sebelum waktu mendarat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan meninjau lokasi kejadian jam 5.40 petang dan mendengar taklimat mengenai insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang terbabit nahas.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.