3 terbunuh selepas kren tumbang di Turin, Itali
ROM: Tiga pekerja terbunuh selepas kren yang mereka dinaiki tumbang ke atas jalan dan mencederakan orang yang lalu lalang di Turin hari ini, lapor media Itali.
Gambar di akaun Twitter rasmi perkhidmatan bomba menunjukkan kren biru yang besar tumbang merentasi jalan antara dua bangunan enam tingkat.
Laporan itu menyatakan, dua individu iaitu seorang yang berada di jalan dan seorang di dalam kereta cedera dalam kemalangan itu.
“Jika tragedi ini berlaku semalam, mungkin lebih ramai yang maut kerana terdapat barisan orang di pejabat pos di sini dan dalam lingkungan beberapa meter, ada perhentian bas,” kata seorang pekerja pembinaan, yang dipetik agensi berita ANSA.
Dalam perkembangan lain, satu gempa bumi menggegarkan Milan di utara Itali hari ini, menyebabkan segelintir penduduk bergegas ke jalan raya, namun tiada laporan segera mengenai kerosakan, kata perkhidmatan kecemasan.
Gegaran yang dianggarkan pada magnitud 4.4 oleh Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan (INGV) itu, dirasai di seluruh wilayah Lombardy, namun anggota bomba berkata mereka tidak menerima sebarang panggilan untuk bantuan.
Pusat gempa itu adalah di Bonate Sotto, sebuah bandar berhampiran Bergamo.
Datuk Bandarnya, Carlo Previtali, memberitahu pemberita, “tidak ada panik atau cemas” dalam kalangan penduduk.