3 beradik hilang, 6 selamat bot karam
TAWAU : Enam selamat, manakala tiga beradik dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di kawasan perairan Kampung Batu Payung, dekat sini, petang tadi.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, bot yang membawa mangsa dipercayai berpatah balik dari Kampung Rawa-Rawa, sebelum karam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.45 petang.
Menurutnya, maklumat awal yang diperolehi terdapat sembilan orang mangsa dalam bot terbabit dengan enam daripadanya telah berjaya diselamatkan oleh orang kampung.
“Tiga lagi mangsa yang juga adik beradik iaitu Saiful Muhaimin, 14; Adam Muhaimin, 13, dan Saina Muhaimin, 12, masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Julius berkata, gerakan mencari dan menyelamat turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain penduduk kampung bersama 17 buah bot sebelum ditangguhkan kira-kira jam 6.40 petang tadi kerana cuaca gelap akan diteruskan awal pagi esok.